Herba Diabetis: February 2018

FB Herba Diabetis

Pages

Saturday, February 24, 2018

Jenis-Jenis Dan Sumber Gula Yang Wajib Kita Tahu



Gula

Gula ringkas (monosakarida) ialah seumpama 'petrol' bagi badan kita yang merupakan satu-satunya sumber tenaga untuk menghidup dan menggerakkan 'enjin' iaitu sel-sel badan kita.
Gula

Walau bagaimanapun, makanan yang kita makan dari karbohidrat (contohnya gula pasir) adalah gula kompleks yang umpama 'minyak mentah' yang perlu 'ditapis' oleh sistem pencernaan perut dan usus supaya menjadi 'petrol' iaitu gula-gula ringkas.

Hanya gula ringkas sahaja boleh ditukarkan kepada tenaga oleh sel-sel.

Gula ringkas glukosa kemudian diserap masuk ke dalam sistem saluran darah untuk dibawa sampai ke semua sel-sel tubuh dari otak hingga ke hujung jari kaki.

Bagi gula ringkas fruktosa pula, ianya perlu diproses dan disimpan oleh hati sebagai 'tenaga simpanan'. Fruktosa yang berlebihan akan disimpan sebagai lemak di sel-sel lemak dan otot.

Adalah tersangat senang untuk keliru dengan terdapatnya berbagai-bagai jenis gula dan pemanis dalam makanan kita. 

Berikut adalah ringkasan tentang jenis-jenis gula:

1. Gula Ringkas

Glukosa, fruktosa dan galaktosa adalah adalah monosakarida, atau dikenali juga dengan nama gula ringkas (simple sugars). Dekstrosa (dextrose) adalah nama lain bagi glukosa yang selalu dilabelkan pada produk.

Gula ringkas boleh digabungkan membentuk gula kompleks. Contohnya sukrosa adalah gabungan glukosa dan fruktosa. Gula hablur putih (gula pasir) komersial itu adalah 99.99% sukrosa.

Pakar-pakar memberitahu, bahaya gula adalah setanding dengan bahaya arak dan rokok.



2. Sirap Jagung Fruktosa Tinggi

Sirap Jagung Fruktosa Tinggi (HFCS - High Fructose Corn Syrup) adalah terdiri dari 55% fruktosa dan 45% glukosa.

Gula jenis ini paling banyak digunakan di dalam industri makanan dan minuman kerana ianya lebih manis dan lebih murah, namun sangat berbahaya kepada kesihatan.




3. Alkohol

Alkohol gula seperti xylitol, glycerol, sorbitol, malitol, mannitol dan erythritol bukannya gula dan bukannya alkohol.

Banyak digunakan sebagai pemanis kerana ianya kurang kalori dari gula, tetapi diserap secara tidak sempurna oleh usus dan boleh menyebabkan kembung (bloated), cirit-birit (diarrhea) dan senak perut (flatulence).

4. Pemanis Tiruan

Sucralose bukannya gula, ia adalah pemanis tiruan segagan dengan aspartame dan saccharin. Ia juga memberi kesan negatif pada kesihatan.



5. Madu

Madu asli mengandungi 53% fruktosa, jika diambil secara sederhana memberi banyak kebaikan kerana ia mengandungi banyak nutrisi-nutrisi yang berguna termasuk juga terdapat banyak antioksida sebagaimana bayam.



6. Stevia

Stevia adalah sejenis herba yang manis, yang diambil dari daunnya dan ianya selamat (dalam keadaan aslinya).









Thursday, February 8, 2018

AWASI UBAT GULA MUNGKIN BAHAYA DIAMBIL SEMASA NAIK PESAWAT





LEBIH 100 juta orang menaiki penerbangan pada setiap hari di seluruh dunia.

Pastinya ia bukan sesuatu yang berbahaya. Namun, persekitaran unik dalam pesawat juga berisiko kepada penumpang jika mereka ada mengambil ubat-ubatan tertentu.

Ini termasuklah ubat berasaskan hormon seperti pil pencegah kehamilan, pil kesuburan dan juga ubat yang digunakan untuk mencegah serangan jantung dan strok serta ubat anti alahan.

Walaupun menaiki pesawat merupakan satu bentuk perjalanan yang paling selamat, ia masih mempunyai risiko tidak kira berapa lama waktu penerbangan sesebuah pesawat itu.

Penumpang pesawat biasanya ditekan dalam keadaan atmosfera sama pada ketinggian 10,000 kaki dari aras laut.

Pada aras itu, tahap oksigen yang efektif hanyalah 14.3 peratus, yang mana jauh lebih rendah berbanding tahap biasa di atas tanah sebanyak 20.9 peratus.

Risiko lain ialah kurangnya pengaliran darah kerana keterbatasan pergerakan dan kedudukan tubuh yang berada dalam keadaan kejang.

Dehidrasi juga merupakan kesan sampingan biasa kerana kurangnya kelembapan udara dalam pesawat.

Apabila semua keadaan ini bergabung, ia meningkatkan risiko pembentukan darah beku dalam pembuluh darah yang juga dikenali sebagai deep vein thrombosis (DVT).

Sesetengah jenama pil pencegah kehamilan dalam bentuk tablet atau implan diketahui membawa risiko peningkatan pembekuan darah kepada penumpang wanita. Namun, risikonya kecil sahaja.

Begitu juga dengan penumpang yang menjalani rawatan terapi penggantian hormon seperti estrogen dan ubat kesuburan seperti gonadotrophins, mereka juga berisiko mengalami pembekuan darah.

Jika anda ada mengambil ubat-ubatan sedemikian, ia tidak bermaksud anda tidak boleh menaiki pesawat atau patut menghentikan pengambilannya.

Ini kerana, terdapat jutaan wanita yang menaiki penerbangan sewaktu mengambil ubat-ubatan yang dinyatakan dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

Namun, risikonya boleh meningkat jika anda mempunyai penyakit seperti diabetis jenis II atau pernah terkena serangan jantung dan angin ahmar sebelum ini.

Jadi, mereka yang mengambil ubat untuk menghalang serangan jantung dan angin ahmar seharusnya merujuk doktor atau ahli farmasi sebelum menaiki pesawat.

Jika anda berisiko untuk terkena pembentukan darah beku, ubat anti-platelet mungkin sesuai untuk menghalang risiko itu.

Ubat ini berfungsi untuk menghalang sel darah dari melekat antara satu sama lain.

Dalam pada itu, terdapat juga penumpang yang menghadapi masalah untuk tidur khususnya melibatkan penerbangan yang jauh dan panjang.

Jadi, mereka mungkin akan mengambil ubat penenang  antihistamines seperti promethazine untuk membantu mereka tidur. Namun, ia sebenarnya satu pilihan yang tidak baik.

Persatuan Perubatan Austalia tidak menggalakkan ibu bapa memberi ubat berkenaan kerana ia kadang kala mempunyai kesan berlawanan yang membuat kanak-kanak tidak mahu tidur dan menjadi lebih aktif.

Antihistamines jenis ini juga boleh memberi tekanan kepada pernafasan. Ditambah pula dengan persekitaran oksigen dalam pesawat yang rendah, ia pastinya sangat berbahaya.

Jika anda atau mana-mana ahli keluarga memerlukan pil penenang sewaktu menaiki pesawat, sebolehnya elakkan penggunaan antihistamine.

Sebaiknya, rujuk doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan ubat-ubatan yang lebih sesuai.

Antaranya ialah tablet tidur mengikut preskripsi seperti melatonim, ataupun penawar semula jadi seperti herba valerian.

Artikel ini ditulis oleh Nial Wheate, Professor Madya dan Pengarah Program Graduan Farmasi di University of Sydney dan diterbitkan dengan kebenaran oleh The Conversation. -The Sun UK

Sumber: http://bit.ly/2ngC5OH



GULA RACUN PUTIH


Ramai di kalangan kita sangat suka kepada manisan atau sajian yang manis-manis.

Tahukah anda ?

Di dalam kandungan air tin berkarbornat mengandungi 24 camca gula? Tidakkah itu keterlaluan?

Gula mempunyai 2 molekul utama.

1. Glukosa – untuk tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan manusia untuk membakar dan mengerakkan neron motor.

2. Fruktosa – molekul yang menggalakkan enzime yang terasa dilidah dan menghantar signal ke neron saraf otak yang menyebabkan kita rasa suka dan gembira. Kerana itu kanak-kanak suka jika di beri gula-gula. Ia akan membuatkan penakulan otak serta menyampaikan deria gembira walau pon belum di jamah.

Pengambilan gula berlebihan terutama fruktosa akan menjadikan seseorang itu diabetis (kegemukan), semengkala kekurangan gula pula menyebabkan kita lemah tidak bertenaga dan pucat.

Sinptom ingin mengetahui orang itu penghidap diabetis adalah P.G.K. (perut gemuk kedepan).

Kesilapan orang kita
Pengunaan stevia : Bangun dari tidur terus titiskan ke dalam air dan minum, sangka mereka ia adalah ubat yang dapat mengimbangi pengambilan glukosa untuk tubuh.

Stevia sebenarnya adalah satu bahan penggalak sahaja sesungguhnya ia bukanlah ubat. Maka ada sesetengah mereka pengidap diabetis (kencing manis) menggunakan di waktu pagi dan tidak makan kerana takut kencing manis. Maka lemah longlai la mereka ini dan pengsan kerana tiada tenaga.

Caranya mudah sahaja: Jika kita memakan nasi amalkan penggambilan sedikit daripada biasa, banyakkan memakan sayur dan buah-buahan. Kalau dulu kita mengambil nasi sebanyak 2 senduk, kini cuba kurangkan dengan mengambil setengah senduk sahaja, tetapi di ganti dengan lauk pauk yang banyak pula untuk mengimbangi kadar glukosa dalam badan.

Pernah dengar tapai? sama juga konsep seperti tapai memakan terlalu banyak nasi menjadikan ianya tercerna di dalam badan dan berlaku proses penapaian di dalam usus, jika di tanya apa rasa tapai? Maka anda akan tahu kenapa kita kena kawal penggambilan makanan berglukosa tinggi. Memang nasi adalah sumber karbohidrat tetapi pengambilan yang terlalu banyak akan menjadikan proses penapaian di dalam usus dan glukosa serta fruktosa akan memejal menjadi lemak.

Lemak ini sebenarnya merosakkan hati maka berlakulah sirosis hati atau barah hati kesan penempelan lemak pada hati.

Sirosis bermaksud pembentukan lemak pada hati hasil pengambilan glukosa berlebihan. Kepada orang yang suka meminum arak serta akohol. Pernah dengar seorang yang kaki minum minuman keras mati pabila disebabkan barah hati? Ye arak dan akohol juga adalah seperti gula yang mengandungi glukosa dan fruktosa tinggi. Proses penapaian akan berlaku di dalam badan sama seperti tapai.

Orang kata air arak atau minuman keras ini manis.. wallahualam.. tepuk dada tanya selera.

sumber: http://bit.ly/2DA5sC9



MENYUSUKAN BAYI MAMPU KURANGKAN RISIKO KENCING MANIS



MENYUSUKAN BAYI MAMPU KURANGKAN RISIKO KENCING MANIS



WASHINGTON - Wanita yang memberikan susu badan kepada bayi mereka selama enam bulan atau lebih, mampu mengurangkan sehingga separuh risiko untuk mengalami diabetis pada masa akan datang.

Demikian menurut hasil kajian selama tiga dekad yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika (JAMA).

Kajian itu mendapati, wanita yang menyusukan bayi mereka sekurang-kurangnya enam bulan berupaya mengurangkan 47 peratus risiko untuk mengalami Diabetis Jenis 2 berbanding wanita yang langsung tidak memberikan susu badan kepada bayi mereka.

((AFP))

Sumber: http://bit.ly/2njUhYn






KURANGKAN RISIKO KENCING MANIS (DIABETIS)





Jom singgah beli burger. Wah! Banyaknya keju dalam hidangan baru itu, beli saja makanan di restoran makanan segera lebih mudah.

Itu antara dialog sinonim yang sering diucapkan kepada ahli keluarga mahupun rakan sekerja dalam kehidupan seharian.

Menikmati hidangan lazat serta pengambilan makanan segera secara tidak terkawal antara pilihan kebanyakan rakyat Malaysia terutama yang sentiasa sibuk dengan tuntutan tugas harian selain individu yang tidak mementingkan penjagaan kesihatan.

Memuaskan nafsu dengan menikmati pelbagai jenis makanan tempatan yang lazat hakikatnya bukanlah suatu kesalahan, namun disebabkan kebanyakan makanan itu tidak menyihatkan, justeru ia perlu diteliti sebelum pengambilannya.

Mungkin ramai berpendapat makanan yang sihat tidak menyelerakan, lazat dan hambar, namun tanggapan itu ternyata salah.

Pengambilan makanan yang tidak sihat serta gaya hidup tidak seimbang berkait rapat dengan penyakit diabetes yang menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia.

Tanggapan umum menyatakan penyakit itu hanya dapat dikesan dan dihidapi golongan dewasa atau individu yang memiliki lebihan berat badan juga tidak tepat sama sekali.

Hakikatnya, diabetes antara penyakit kronik paling kerap dihidapi kanak-kanak serta golongan muda selain menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2014 menunjukkan rakyat Malaysia dikategorikan sebagai antara rakyat paling ramai mempunyai masalah berat badan.

Lebihan berat badan selain tidak kerap bersukan menjadi antara penyebab utama penyakit diabetes mula menyerang.

Ketua Pegawai Perubatan Hospital Columbia Asia Bukit Rimau Dr Ng Lee Li berkata, kajian mendapati gaya hidup tidak seimbang, waktu bekerja yang panjang dan pengambilan makanan tidak terkawal menjadi risiko terbesar diabetes.

“Peningkatan jumlah individu yang menghidap diabetes setiap tahun amat membimbangkan dan ia perlu ditangani segera. Semuanya perlu dikawal terutama gaya hidup harian kerana ia mempengaruhi tahap kesihatan seseorang dan akhirnya individu itu disahkan menghidap diabetes,” katanya.

Menurutnya, kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit itu perlu lebih ditekankan kepada setiap individu dengan lebih serius.

“Jangan menganggap ia perkara remeh dengan meneruskan rutin harian tidak sihat terutama dari aspek pemakanan.

Lakukan senaman, makan secara sihat dan berjumpa pakar untuk sama-sama mengawal penyakit itu sekiranya anda mula mempunyai tanda kurang sihat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Diet Columbia Asia Kong Woan Fei berkata, purata pengambilan gula dalam sehari bagi setiap individu ialah 11 sudu teh, namun kebanyakan rakyat Malaysia mengambil gula sehingga 24 sudu teh setiap hari.

“Angka itu amat membimbangkan kerana pengambilan gula tidak terkawal menyebabkan pelbagai risiko penyakit terutama diabetes. Justeru, setiap individu perlu sedar dan sayangi diri dengan menjaga pengambilan makanan setiap hari,” katanya.

Berikut tip daripada Kong untuk makan secara sihat bagi mengurangkan risiko diabetes juga kepada penghidap diabetes:

- Hadkan kemanisan minuman bagi membantu mencegah diabetes.

- Kiraan karbohidrat dan jumlah pengambilan karbohidrat lebih penting daripada jenis karbohidrat yang anda makan.

- Jangan meninggalkan karbohidrat walaupun anda pesakit diabetes kerana ia sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.

- Buah-buahan boleh dikategorikan sebagai makanan mesra diabetes, tetapi perlu mengambilnya sebagai sebahagian daripada karbohidrat harian.

- Kawalan saiz hidangan adalah kejayaan utama dalam sebarang pelan pengurusan diet.

- Makan secara berlebihan berlaku kerana individu itu cenderung memuaskan nafsu seleranya.

- Makan sebahagian kecil daripada makanan yang anda suka.

- Keinginan untuk menikmati makanan masin akan berkurangan apabila anda mula mengurangkan pengambilan garam secara beransur-ansur.

source: http://bit.ly/2FuWZRz



GULA TERLEBIH JEJAS SARAF KAKI




RISIKO kehilangan kaki sesuatu yang sangat ditakuti oleh kebanyakan pesakit diabetes atau kencing manis, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mengalami luka teruk pada mana-mana bahagian kaki dan sukar disembuhkan.

Hal ini terjadi kerana lebih separuh daripada pesakit diabetes ini tidak menyedari bahawa mereka menghidapnya sehinggalah penyakit tersebut berada di tahap teruk.

Begitupun, sekiranya dikesan awal, risiko pemotongan kaki boleh dielakkan dan pesakit mampu menjalani kehidupan secara lebih sihat.

Menurut Pendidik Kanan Diabetes Institut Jantung Negara (IJN), Siah Guan Jian, penyakit diabetes dan kesakitan kaki saling berkait rapat.

Katanya, ini kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf khususnya di bahagian kaki dan tangan.

“Bagi pesakit diabetes, mereka akan merasai denyutan atau kebas pada tangan, betis atau kaki.

“Ini dikenali sebagai neurpoati dan akan berlaku secara perlahan dan mengambil masa yang panjang kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf terutamanya pada bahagian kaki dan tangan.

“Apabila ini terjadi kerosakan saraf boleh menular tanpa disedari dan keadaan neuropati boleh diperbaiki apabila kawalan glukosa darah diperketatkan,” ujarnya ketika ditemui pada forum Kencing Manis dan Kaki Anda di IJN, baru-baru ini.

Diabetis adalah satu keadaan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa.

Keadaan ini berlaku apabila organ pankreas tidak dapat mengeluarkan insuln dengan mencukupi atau apabila badan tidak dapat menggunakan insuln yang dikeluarkan itu secara berkesan.

Apabila insuln gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan kita sebagai simpanan.

Akibatnya, darah akan mempunyai kadar gula yang terlalu tinggi untuk sel-sel badan kita dan secara amnya seseorang dianggap menghidap penyakit diabetes apabila kadar gula dalam darah semasa berpuasa lebih daripada tahap tujuh atau kadar gula selepas makan adalah daripada tahap 11.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Guan Jian menjelaskan, kerosakan sistem saraf kaki bagi pesakit kencing manis akan menyebabkan pesakit ini kehilangan keupayaan mengesan sentuhan, kesakitan, perubahan suhu, dan perubahan pada sendi kaki sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah.

Oleh yang demikian, Guan Jian menasihatkan pesakit diabetes terutamanya daripada kalangan kronik memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penjagaan dan kebersihan kaki, sebagaimana anggota-anggota lain seperti mata, jantung, buah pinggang, dan kulit.

Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan agar pesakit diabetes memeriksa celah-celah jari kaki dan tapak kaki sekurang-kurangnya sekali sehari, iaitu sebelum tidur untuk memastikan tahap kebersihan dan tiada luka atau kecederaan pada tempat-tempat yang dinyatakan tadi.

Dalam pada itu, Guan Jian memberitahu, memotong kaki atau bahagian yang luka bukan satu jalan penyelesaian kepada pesakit diabetis.

Tuturnya lanjut, sekiranya doktor memutuskan untuk melakukannya, pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan rawatan alternatif lain.

“Rawatan mencuci dan membersihkan luka ini hendaklah dilakukan oleh mereka yang berkemahiran seperti jururawat atau mereka yang berpengalaman dan biasa mengendalikan luka pesakit diabetes.

“Ini kerana bagi pesakit diabetes, mereka tidak digalakkan untuk merendamkan kaki dan cukuplah sekadar membersihkannya seperti biasa.

“Sekiranya luka yang kecil segera dirawat dan dibersihkan, tentu sekali luka tersebut dapat disembuhkan atau sekurang-kurangnya meminimumkan luka tersebut,” tegasnya.

Memberitahu dengan lebih terperinci, Guan Jian berkata, dari segi perubatan moden, penyakit diabetis ini tidak dapat diubati tetapi boleh dikawal.

Untuk itu, pesakit digalak menggunakan pelembap semasa mengurut kaki dan dinasihatkan tidak menyapu pelembap di bahagian celah-celah jari kaki.

Mereka juga tidak digalakkan berkuku kaki panjang dan memotong kuku kaki secara lurus.

Bagi pemilihan kasut pula, pesakit digalakkan membeli atau memakai kasut yang bertutup sepenuhnya dan bahagian depannya lebar supaya kaki tidak terhimpit.

Pada masa yang sama, kasut yang dibeli juga haruslah mempunyai ruang sekurang-kurangnya satu sentimeter di bahagian hadapan untuk membolehkan kaki ‘bernafas’.

“Bagi pesakit diabetes, pemilihan kasut adalah amat penting dalam usaha menjaga kesihatan kaki masing-masing.

“Untuk itu mereka dinasihatkan membeli kasut pada waktu petang di mana pada masa ini kaki akan kembang sepenuhnya setelah melakukan aktiviti.

“Pesakit juga diingatkan mengukur saiz untuk kedua-dua belah kaki, selain jangan memakai kasut sepanjang hari dan pakailah kasut secara perlahan-lahan,” katanya.

Sumber: http://bit.ly/2DUGe5N



SUNTIK INSULN BUKAN PENAMAT BUAT PENGHIDAP KENCING MANIS (DIABETIS)



SUNTIK INSULN BUKAN PENAMAT BUAT PENGHIDAP KENCING MANIS (DIABETIS)




KUALA LUMPUR: Sama ada memang sikap kita atau ia hanya salah faham di Malaysia, apabila seseorang penghidap diabetes telah sampai ke tahap perlu melakukan suntikan insuln, mereka beranggapan seluruh kehidupannya juga berakhir.

Semangat mula luntur dan kualiti hidup mula menurun serta sudah tiada masa untuk bersosial bersama keluarga.

"Leceh sebab nak kena bawa macam-macam ubat," kata Alia Muhammad, 42.

Alia penghidap diabetes miletus tahap 2 sudah lebih dua tahun mengguna suntikan insuln yang perlu disuntik setiap hari. Beliau antara contoh penghidap diabetes yang lebih gemar menghabiskan masa di rumah daripada keluar bercuti atau berjalan-jalan kerana berasa sukar dan leceh dalam keadaan kesihatannya yang kurang menentu.

Sedar ia bukan penamat buat hidupnya tetapi kerana malas untuk berenyah-renyah, lebih baik duduk diam-diam sahaja di rumah.

Diabetes atau disebut kencing manis oleh kebanyakan orang di negara ini adalah satu daripada 10 penyakit yang membawa kematian di Malaysia.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, terdapat peningkatan jumlah penghidap diabetes di Malaysia iaitu kepada 17.5 peratus pada tahun 2015 berbanding 15.2 peratus pada tahun 2011.

Ia penyakit metabolik kompleks yang semakin lazim di negara ini. Dan didefinisikan melalui peningkatan taraf glukos di dalam saluran darah (hyperglisemia) yang menyebabkan badan tidak berupaya menghasilkan serta menggunakan insuln.

Menurut Konsultan Kanan Endoktrinologi, Profesor Dr Chan Siew Pheng, jika keadaan itu berterusan, dijangkakan kadar kes diabetes di Malaysia akan terus meningkat jika tiada strategi berkesan diambil bagi membanterasnya.

"Wujud satu lompong mengenai kesedaran diabetes serta kelazimannya di negara ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini sekaligus menghalang usaha proaktif bagi memperkenalkan kehidupan lebih sihat yang boleh mengurangkan risiko diabetes," jelas Prof Chan.

PENGENALAN KEPADA KENCING MANIS

Diabetes adalah terma am kepada penyakit yang berkait dengan kencing berlebihan. Diabetes Jenis 1 adalah jenis 'insuln-dependant' disebabkan kegagalan insuln dihasilkan oleh badan. Ia juga disebut 'Juvenille Diabetes' disebabkan hanya biasa terjadi kepada kanak-kanak.

Manakala Diabetes Mellitus Jenis 2 pula disebabkan 'disorder carbohydrate (sugar)' metabolism atau juga dipanggil 'non-insuln dependant diabetes mellitus'. Penyakit ini dibahagikan kepada 'hyperglycemia' (gula dalam darah) dan 'glycouria' (gula dalam air kencing). Keadaan ini berlaku disebabkan kekurangan pengeluaran insuln dalam badan.

Satu jenis lagi ialah pregnancy diabetes. Ini berlaku sewaktu seseorang hamil dan akan hilang selepas bersalin tetapi boleh berterusan jika tidak dikawal.

Diabetes jenis 2 merangkumi 90 peratus hingga 95 peratus daripada jumlah pesakit diabetes. Biasanya terjadi sejajar dengan peningkatan usia, penambahan berat badan atau obesiti, keturunan atau genetik dan juga gaya hidup yang kurang aktif. Biasanya diabetes jenis ini tidak memerlukan suntikan insuln tetapi perlu dikawal dan pemakanan perlu dijaga.

Bagaimananpun jika tidak dikawal ia turut meningkatkan risiko kepada komplikasi penyakit kardiovaskular atau jantung (mikro dan makro). Malah penyakit ini turut berkait rapat dengan peningkatan kematian pramatang serta kematian yang boleh dielakkan,penyakit hati, kegagalan buah pinggang serta buta dan dipotong kaki (amputasi).

Walaupun lebih lazim dalam kalangan orang dewasa, penyakit ini turut menyerang kanak-kanak apabila kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak kian meningkat.

INSULN

Insuln adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas manusia.

Ia berfungsi dengan menukar glukos/gula yang terdapat di dalam aliran darah menjadi tenaga.

Kehadiran insuln sangat penting bagi mengawal kadar gula dalam darah dan glukos akan ditukarkan ke dalam bentuk tenaga. Jika glukos tidak ditukar ke dalam bentuk tenaga ia akan terus berada di dalam darah dan menyebabkan pelbagai komplikasi.

Penghidap diabetes yang mempunyai masalah insuln tidak mencukupi ataupun tidak boleh dihasilkan, mereka terpaksa mendapatkan insuln yang dihasilkan daripada haiwan atau insuln yang diperbuat secara sentetik yang menyerupai insuln manusia.

Insuln tambahan ini akan disuntik ke badan pesakit untuk meningkatkan insuln dalam darah. Bagaimanapun tidak semua pesakit memerlukan insuln tambahan ini. Keperluan bergantung kepada tahap dan jenis diabetes yang dihidapi.

KENAIKAN MENDADAK

Kajian terbaharu Diabcare 2013 pula mencatatkan walaupun dengan kepelbagaian ubatan yang diambil, 76 peratus pesakit gagal mengawal tahap glukos dalam darah mereka berbanding catatan sebanyak 72 peratus pada tahun 2008.

Menurut Prof Chan, jumlah kenaikan penghidap diabetes yang mendadak di Malaysia adalah amat membimbangkan.

"Oleh kerana Diabetes Jenis 2 merupakan penyakit yang kompleks, perlu ada pilihan rawatan efektif untuk membantu pesakit mengoptimumkan kawalan glisemik mereka," jelas Prof Chan ketika ditemui pada majlis pelancaran Once-Weekly Bydureon, sejenis rawatan baharu yang diluluskan bagi diabetes jenis 2 di Malaysia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Endokrinologi serta Diabetologi dari Universiti Tubingen, Jerman, Dr Stephan Jacob. Beliau turut menjelaskan bagaimana rawatan yang telah 10 tahun berada di pasaran Jerman dan Eropah membantu meningkatkan gaya hidup aktif pesakit diabetes yang tidak mahu dibebani dengan jadual rawatan.

Terapi suntikan secara mingguan berbentuk suntikan serbuk pelarut tersebut membantu menambah baik pengawalan glisemik bagi pesakit dewasa yang menghidap Diabetis Mellitus Jenis 2.

"Jumlah pesakit diabetes seluruh dunia juga semakin meningkat hingga ia membebankan. Hari ini kita mempunyai ramai golongan muda menghidap diabetis."

Beliau berkata Once-Weekly Bydureon dipercayai rawatan berkesan kepada pesakit.

"Ia memberi kesan baik kepada pesakit Diabetes Jenis 2 dengan pengurangan dua peratus HbA, turun 4.0 kg berat badan dan keseimbanganan dalam HbA untuk selama enam tahun. Ini menjadikan ubat berkenaan sebagai inovasi terbaru rawatan bagi Diabetes Jenis 2 dan sesuai untuk pesakit yang gemar cara hidup yang bebas dan tidak terikat dengan jadual rawatan", katanya.

PROGRAM SOKONGAN PESAKIT B+

Bersempena pelancaran itu, pihak AstraZeneca Sdn Bhd selaku pembekal turut memperkenalkan Program Sokongan Pesakit B+. Ia khusus buat pesakit yang menerima rawatan Diabetes Mellitus Jenis 2 yang menggunakan ubat berkenaan.

Antara lain program sokongan itu menawarkan Diabetic Nurse Educators yang dilatih secara khusus untuk mengajar pesakit kaedah penggunaannya. Di samping turut memberikan kaunseling dan mendidik pesakit mengenai amalan diet serta gaya hidup yang sihat.

Program berkenaan turut merangkumi peringatan rawatan mingguan, risalah serta akses kepada pengamal perubatan profesional bagi sebarang pertanyaan mengenai rawatan mereka.

Bagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan kebenaran dan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menyertai program itu.

sumber: http://bit.ly/2Eiwy4o







KENCING MANIS (DIABETIS) PENYEBAB KEMATIAN KETIGA DI BRUNEI DARUL SALAM



BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. - Penyakit Diabetis menjadi penyebab ketiga kematian di Negara Brunei Darussalam pada beberapa tahun yang lalu.

Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan 2009 - 2011 telah menunjukkan kadar penyakit Diabetis dalam kalangan dewasa ialah sebanyak 12.5 peratus, dalam erti kata yang lain, kurang lebih 37,000 daripada rakyat dan penduduk di negara kita menghidapi penyakit Diabetis.

Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Md. Kassim menyatakan perkara tersebut dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Sambutan Hari Diabetis Sedunia 2015 yang berlangsung di Ruang Legar, The Mall Gadong, di sini.

Dr. Hajah Norhayati yang juga selaku Pengerusi Majlis menambah, kajian telah menunjukkan faktor risiko utama bagi penyakit Diabetis ialah berat badan berlebihan dan obesiti yang juga menjadi isu membimbangkan di negara ini.

Beliau menambah, hasil dapatan Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan 2009 - 2011 menunjukkan bahawa kadar badan berlebihan dalam kalangan dewasa adalah 33.4 peratus dan kadar obesiti pula adalah 27.2 peratus manakala hasil dapatan dari Kaji Selidik Global School - based Health Sruvey 2014 menunjukkan dalam kalangan remaja berumur 13-17 tahun pula, kadar berat badan berlebihan ialah 35.1 peratus dan kadar obesiti 17.3 peratus.

Selain itu, ujarnya, Diabetis juga disebabkan faktor-faktor risiko tingkah laku yang tidak sihat seperti tidak mengamalkan pemakanan sihat dan juga kurang melakukan kegiatan fizikal.

''Oleh itu, langkah-langkah utama pencegahan dan pengawalan penyakit Diabetis terletak pada perubahan 'mindset' dan tingkah laku setiap individu dan orang ramai melalui amalan cara hidup yang sihat, khususnya, pengawalan berat badan, pengambilan 2 - 3 hidangan buah-buahan dan 2 - 3 hidangan sayur-sayuran setiap hari, mengurangkan pengambilan gula dan lemak bertepu, melakukan kegiatan fizikal berintensiti sederhana 30 minit sehari sekurang-kurangnya lima kali seminggu dan mengelakkan atau berhenti merokok untuk mencegah atau melambatkan kejadian Diabetis jenis 2. Pengesanan awal penyakit Diabetis boleh dilakukan melalui pemeriksaan kesihatan berkala. Mereka yang mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidapi penyakit Diabetis, dan wanita yang pernah mengalami Diabetis semasa mengandung adalah berisiko untuk menghidapi Diabetis jenis 2 dan jika mempunyai faktor-faktor risiko tingkah laku seperti yang disebutkan tadi, mereka ini seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara tetap,'' jelasnya lagi.

Dari itu tegsanya, setiap individu itu perlulah bertanggungjawab atas tingkah lakunya sendiri dalam membuat pilihan yang bijak dan terbaik bagi dirinya.

Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin yang juga selaku Penghulu Mukim Gadong 'A' hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan majlis tersebut.

Sejajar dengan tema sambutan pada tahun ini, iaitu 'Bertindak Sekarang untuk Merubah Masa Depan' (Act Today to Change Tomorrow), objektif utama sambutan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat, khususnya, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah berserta ibu bapa dan penjaga mereka, selain untuk meningkatkan kesedaran orang awam amnya mengenai pengurangan pengambilan gula.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang sambutan itu termasuklah pemeriksaan kesihatan secara percuma, pameran kesihatan mengenai pemakanan sihat dan Diabetis, pertandingan interaktif Diabetis atau 'Diabetes Race', dan juga sesi kaunseling bersama Pegawai Permakanan dan Pegawai Podiatri bagi mereka yang menghidapi penyakit Diabetis.

Program berkenaan juga merupakan satu landasan atau peluang untuk mengesan tanda-tanda awal penyakit Diabetis melalui saringan kesihatan, di samping mendapatkan khidmat kaunseling dan nasihat daripada pakar-pakar yang terlibat.

Dengan adanya sambutan seperti ini, ia diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap penyakit Diabetis dan juga langkah-langkah yang perlu diambil bagi pencegahan penyakit tersebut, di samping itu juga, memberikan nasihat dan sokongan kepada para penghidap Diabetis untuk meneruskan usaha-usaha mereka ke arah pengawalan penyakit Diabetis.

Selain itu juga, aktiviti-aktiviti yang dikendalikan juga dapat menjadi salah satu usaha berterusan Kementerian Kesihatan dalam mempromosikan amalan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat Negara Brunei Darussalam dan seterusnya menerapkan amalan cara hidup sihat bagi mengurangkan kadar penyakit Diabetis dan juga penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain bagi merealisasikan Wawasan 2035 Kementerian Kesihatan, 'Bersama Ke Arah Warga Sihat'.

​sumber : http://bit.ly/2E8oBQk




KENCING MANIS (DIABETIS) JUGA BERPUNCA DARIPADA DIWARISI MELALUI DNA



KENCING MANIS (DIABETIS) JUGA BERPUNCA DARIPADA DIWARISI MELALUI DNA



FAKTA: Diabetes ada kalanya berpunca daripada pemakanan yang mengandungi gula yang tinggi tetapi tidak semuanya begitu. Risiko paling tinggi untuk seseorang mendapat penyakit ini sekiranya keluarga mereka mempunyai pesakit diabetes. Ia dikenali sebagai penyakit genetik.







SISTEM BADAN LEMAH, PESAKIT KENCING MANIS (DIABETIS) MUDAH KENA DIFTERIA





GEORGE TOWN, 18 Jul — Pesakit kencing manis, kanser dan hepatitis B diminta untuk lebih berhati-hati menjaga kesihatan bagi mengelak daripada terkena jangkitan penyakit lain termasuk difteria.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata mereka yang menghidap penyakit berkenaan lebih berisiko untuk dijangkiti penyakit lain.

“Saya mahu berpesan kepada mereka yang ada masalah kesihatan seperti kencing manis, kanser, hepatitis B dan sebagainya, untuk berhati-hati...lebih elok jika mereka pergi sendiri ke klinik kesihatan mendapatkan imunisasi.

“Ini kerana mereka yang ada penyakit ini mudah terjejas sistem imunnya, jika badan kita lemah, kita mudah dijangkiti penyakit sebegini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Integrasi Sains Malaysia-Thailand di Sekolah Kebangsaan Seri Relau di sini hari ini.

Mengulas perkembangan difteria, Dr Hilmi berkata pada masa ini sebanyak 15 kes dicatatkan di negara ini dengan lima kematian direkodkan.

“Ini satu perkara yang amat serius...15 kes dengan lima kematian. Di Melaka (tiga kes, satu kematian), Kedah (tujuh kes, satu kematian), Sabah (empat kes, tiga kematian) dan yang terbaru Negeri Sembilan satu kes. Difteria ini boleh dicegah jika masing-masing mendapat imunisasi,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini seorang suri rumah dari Rembau, Negeri Sembilan yang disahkan positif difteria, Dr Hilmi berkata punca wanita berkenaan dijangkiti penyakit itu adalah daripada kanak-kanak yang menghidap difteria.

“Mungkin dia (wanita itu) berjangkit daripada orang lain, daripada kanak-kanak lain.

“Oleh kerana dia dewasa dan sudah mendapat imunisasi, maka kesan pada dirinya tidak seteruk seperti mereka yang tidak mendapat rawatan imunisasi.  Sekarang pesakit ini masih di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan keadaannya stabil,” katanya.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan suri rumah berusia 41 tahun itu positif penyakit difteria, menjadikan ia kes pertama melibatkan orang dewasa di negara ini.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 250 murid dari Malaysia dan Thailand menyertai kem integrasi selama tiga hari yang bertujuan membina semangat ASEAN dalam kalangan murid, sekali gus mendedahkan mereka kepada bidang sains dan teknologi.

Selain Pulau Pinang, program itu turut disertai murid dari Kedah dan Selangor. — Bernama

sumber : http://bit.ly/2nMVruP



AWASI KENCING MANIS (DIABETIS) MEMELIHARA MATA SEBELUM BUTA



AWASI KENCING MANIS (DIABETIS) MEMELIHARA MATA SEBELUM BUTA 


SEMPENA sambutan hari bapa nanti, isu pemeliharaan penglihatan perlu ditekankan terutamanya di kalangan bapa (dan juga ibu) yang menghidap diabetes.

Kajian Mata Kebangsaan 1996 menganggarkan terdapat 63,000 individu buta dan 53,000 orang mengalami rabun teruk di Malaysia.

Antara punca utama masalah ini ialah penyakit diabetes yang boleh memberi kesan sampingan buruk kepada mata.

Penyakit diabetes ialah penyakit sistemik di mana badan tidak dapat mengawal kandungan gula, menyebabkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi.

Peningkatan paras gula dalam darah juga memberi kesan terhadap sistem salur darah dan mengakibatkan serangan strok dan jantung, kegagalan buah pinggang serta kerosakan pada mata dikenali sebagai retinopati diabetis.

Kesan

Kesan masalah buta akibat penyakit diabetes sangat besar. Kebanyakan pesakit tergolong dalam peringkat usia yang produktif dan mempunyai tanggungjawab besar menyara hidup serta keluarga masing-masing.

Kehilangan penglihatan pada peringkat ini boleh menyebabkan mereka kehilangan kerja kerana tidak mampu melakukan tugas dengan berkesan. Ini seterusnya akan menjejaskan ekonomi dan dinamik keluarga pesakit.

Impak negatif ini juga secara langsung membantutkan pembangunan dan ekonomi negara, terutamanya dengan kehilangan tenaga kerja di peringkat paling berpotensi dan produktif dalam hidup mereka.

Kerajaan pula terpaksa menanggung kos perubatan dan kebajikan pesakit ini.

Oleh kerana impak negatif ini, kebutaan akibat diabetes perlu dicegah!

Pencegahan boleh dilakukan dengan memastikan pesakit diabetes menjalani pemeriksaan mata secara berkala.

Pengesanan masalah mata di peringkat awal membolehkan doktor mata memberi rawatan sewajarnya mengikut keadaan pesakit.

Pemeriksaan mata

Retinopati diabetis adalah penyebab utama kebutaan baru di negara maju dan membangun.

Kemungkinan seorang pesakit diabetes menjadi buta adalah 25 kali ganda lebih tinggi berbanding individu sihat tetapi boleh dielakkan jika dikesan serta dirawat dari awal.

Sekitar 2006 dan 2007, jumlah pesakit diabetes di negara kita meningkat kepada 14.5 peratus daripada 8.3 pada 1996.

Didapati kadar komplikasi paling lazim akibat diabetes adalah ke atas saraf (58 peratus) dan mata (53 peratus).

Selepas lima tahun seseorang itu disahkan menghidap diabetes, 14 peratus daripada pesakit didapati menghidap retinopati diabetis.

Namun, didapati hanya tiga hingga 20 peratus pesakit diabetes menjalani pemeriksaan mata berkala.

Ini menunjukkan 80 peratus lagi pesakit diabetes yang tidak menjalani pemeriksaan mata berdepan risiko menjadi buta akibat retinopati diabetis.

Tanpa disedari

Kajian Kementerian Kesihatan pada 2002 untuk menyaring kesan penyakit diabetes ke atas mata melalui gambar retina di tujuh buah hospital di tujuh negeri memperoleh keputusan membimbangkan.

Daripada 6,288 pesakit diabetes, 38 peratus (2,138 orang) mengalami retinopati diabetis tanpa disedari.

Jika fakta ini diunjurkan kepada semua pesakit diabetes yang berjumlah hampir 3.7 juta (14.5 peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia), bermakna kira-kira 1.4 juta pesakit menghidap retinopati diabetis tanpa disedari kerana tidak menjalani ujian saringan daripada doktor mata.

Fakta ini membimbangkan dan juga menyedihkan kerana pengesanan awal membolehkan kita mencegah kebutaan retinopati diabetes melalui rawatan laser atau pembedahan.

Bagaimanakah keadaan mata pesakit yang mengalami retinopati diabetis? Gambar mata pesakit diabetes menunjukkan contoh pendarahan di dalam retina mata pesakit yang tidak menjaga pemakanan.

Pesakit berkenaan juga menghidap darah tinggi, paras lemak tinggi dalam darah dan dia juga seorang perokok tegar. Semua faktor ini meningkatkan lagi risiko mendapat retinopati diabetis yang teruk.

Gambar tersebut menunjukkan perdarahan pada retina yang berlaku di dalam mata seorang pesakit diabetes yang tidak mengawal gula di dalam darah. Kebocoran lemak di tengah retina menyebabkan gangguan penglihatan.

Komplikasi sampingan

Satu fakta penting yang perlu diketahui pesakit diabetes ialah jika retinopati diabetis berlaku, besar kemungkinan pesakit itu juga mengalami masalah kerosakan buah pinggang yang dipanggil nefropati diabetis.

Ini penyebab utama kegagalan buah pinggang tegar yang memerlukan dialisis seumur hidup.

Oleh itu jika pesakit diabetes didapati menghidap retinopati diabetis, pemeriksaan air kencing perlu dilakukan segera untuk mengesan nefropati diabetis.

Pada peringkat awal, pengambilan ubat dapat mencegah kegagalan buah pinggang tegar.

Kesedaran masyarakat, terutama pesakit diabetes, dan doktor yang merawat mengenai kepentingan penyaringan mata sangat penting.

Menjadi kewajipan pesakit untuk menjalani pemeriksaan mata dan menyebarkan pengetahuan ini kepada pesakit lain supaya lebih ramai menjalani pemeriksaan untuk mengelakkan kehilangan deria penglihatan.

Apa yang perlu dilakukan pesakit? Tentukan mata anda diperiksa pakar mata sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Kepada pengamal perubatan pula, patuhi jadual pemeriksaan mata pesakit seperti disarankan.

Pesakit diabetes boleh dirujuk untuk pemeriksaan retina di klinik mata atau pusat kesihatan yang ada kemudahan kamera retina.

Kepada pesakit diabetes, ingatlah bahawa:

*kemungkinan anda menjadi buta adalah 25 kali ganda daripada orang sihat

*walaupun anda dapat melihat dengan jelas, tidak bererti tiada kerosakan pada retina mata anda

*kerosakan retina mungkin bererti kerosakan buah pinggang yang boleh dikesan awal dengan ujian air kencing

*kerosakan awal buah pinggang dapat dirawat dan ini turut mencegah berlakunya kegagalan buah pinggang tegar yang memerlukan dialisis yang juga memerlukan belanja besar dan mengganggu kualiti hidup anda

Jika anda menghidap diabetes melebihi lima tahun, di samping mempunyai masalah tekanan darah tinggi, merokok, paras lemak tinggi dalam darah dan kawalan gula darah yang tidak sempurna, risiko mendapat kerosakan retina adalah tinggi.

Jangan berlengah, minta dirujukkan ke klinik mata dengan segera! Bersama kita memelihara penglihatan sebelum mata menjadi buta.

sumber: http://bit.ly/2C3ardj